Tuesday 18 November 2014

Peranan Dewa dan Konsep Dewaraja dalam Sastera Panji



SASTERA PANJI




Sejauhmanakah Peranan Dewa dan Konsep Dewaraja Memainkan Peranan Utama dalam Genre Sastera Panji.

Sastera panji adalah karya-karya berbentuk hikayat yang secara umumnya berkisar di sekitar kisah pengembaraan dan percintaan watak utamanya. Kesusasteraan panji berasal dari Kepulauan Jawa dan dicipta semasa keagungan empayar Majapahit. Oleh sebab popularitinya, karya kesusasteraan panji telah tersebar ke  Tanah Melayu, Thailand dan Kemboja. Wadah bahasanya bermula dari bahasa Jawa dan kemudiannya tersebar dalam bahasa Melayu, Thai dan Khmer.
Menurut A. Teeuw, (1966:v):
                Cerita-cerita panji itu ialah golongan cerita Jawa-Melayu yang semuanya berpusatkan Sang Panji, putera Kuripan yang ada sifat sejarahnya tetapi tidak kurang mitologinya. Pokok utama cerita panji ialah Panji yang berkelana mencari kekasihnya, pasangan yang sering kali bernama Cendera Kirana, puteri Daha tetapi yang hilang atau menyamarkan diri dan menjelma sebagai orang lain. Selama dia berkelana, Panji mengalami bermacam-macam peristiwa hingga akhirnya dia bertemu semula dengan kekasihnya.

Semua cerita panji menampilkan alur khas yang sama, kerana itu ada yang menganggap bahawa cerita panji sama sahaja ceritanya. Akan tetapi kalau dianggap keseluruhannya tidak berbeza, barangkali hal itu tidak benar. Selain itu, gelaran panji muncul ketika watak utama menyamar diri sewaktu pengembaraan. Dapat dilihat juga apabila “panji” itu hanya diberikan kepada pelaku-pelaku utama sahaja, tidak semua anak-anak raja atau orang-orang bangsawan.  Gelaran “Panji” ini digunakan sebagai satu perisai yang melindungi diri tokoh agar tidak dikenali orang-orang yang ditemuinya. Gelaran ini juga terpaksa digunakan sebagai azimat kekuatan kerana ketika pengembaraan dan penyamaran tokoh terpaksa mengharungi sebarang kemungkinan yang akan mendatang.




Definisi dewa
Dewa merupakan satu kewujudan yang mempunyai kuasa magis atau supernatural yang menguasai unsur-unsur alam atau aspek-aspek tertentu dalam kehidupan manusia. Dewa disembah, dianggap suci dan keramat. Dewa boleh wujud dalam pelbagai rupa, biasanya dewa wujud sebagai manusia atau jelmaan dan binatang. Mereka mempunyai peribadi yang tersendiri, iaitu keistimewaan yang membuatkan mereka berkuasa dan disembah oleh manusia. Beberapa fenomena alam seperti petir, hujan, banjir, badai dan sebagainya. Dewa juga dikatakan mempunyai keajaiban sebagai pengatur alam. Mereka juga dapat memberi hukuman kepada makhluk yang lebih rendah darinya.

Definisi dewaraja
Dewaraja membawa konotasi konsep Hindu Buddha yang memuja dan menganggap raja memiliki sifat kedewaan. Konsep ini berkaitan dengan sistem monarki yang menganggap raja memiliki sifat illahiah, sebagai dewa yang hidup di atas bumi, sebagai titisan dewa tertinggi, biasanya dikaitkan dengan Siwa atau Wishnu. Dalam bahasa Sanskrit istilah dewaraja bermaksud raja paradewa atau raja yang teringgi. Agama Hindu merupakan sistem teologi yang berasal dari India yang dianut oleh sebahagian besar bangsa Asia Tenggara pada zaman kuno. Konsep Hindu mengenai raja yang berasal dari Ksatria yang didukung oleh kasta brahmana dianut oleh sebahagian besar masyarakat Asia Tenggara iaitu Campa, Jawa dan Angkor. Dari situlah mulai berkembang konsep dewa raja iaitu kekuatan atau esensi kedewataan yang masuk ke dalam diri raja, sehingga dalam diri raja dianggap terdapat dari aspek tertentu yang berasal dari kewibawaan dan kehandalan dewa.  Menurut Hall (1986) dewaraja merupakan satu bentuk Siwaisme yang berpusat pada pemujaan sebuah lingga sebagai personifikasi suci dari raja yang diberikan kepadanya oleh Siwa melalui Brahmana sebagai mediumnya

                Dalam cerita-cerita panji telah digambarkan bagaimana watak-watak utama dalam cerita panji sebagai keturunan dan para dewa serta mereka direstui oleh para dewa dari kayangan untuk memimpin manusia sebagai raja. Mereka berjaya mengalahkan kekuatan kejahatan dan mewujudkan keadilan serta kebaikan di alam dunia. Oleh kerana cerita panji berasal dari tanah Jawa maka, unsur-unsur Hindu banyak diterapkan dalam kisah panji. Digambarkan raja merupakan jelmaan para dewa, mereka bukan sahaja bertindak sebagai raja tetapi juga sebagai dewa atau tuhan yang menjalankan arahan ketuanya iaitu yang dikenali sebagai Betara Guru dari kayangan. Dek kerana raja berasal dari keturunan dewa jadi putera-puteri yang dilahirkan juga merupakan titisan dari dewa. Justeru itu perkahwinan anak-anak raja yang tersebut sangat dipentingkan berlaku dengan putera-puteri raja yang juga mempunyaidarah keturunan para dewa dari kayangan. Maka dengan itu jelaslah bahawa raja-raja digambarkan dalam cerita-cerita panji terserap unsur Hindu sebagai dewaraja.
Dalam Hikayat Panji Semirang, watak Panji yang merupakan anak Ratu Kuripan hanya berkehendakkan puteri atau Raden Galuh Cendera KIrana yang merupakan anak Ratu Daha. Oleh kerana kehendak para dewa, meskipun mereka terpisah serta melalui pelbagai ranjau dalam kehidupan mereka, mereka akhirnya tetap bersama.  Berbeza pula dengan Galuh Anjeng, Galuh Anjeng digambarkan tidak elok paras rupanya meskipun dia sentiasa berhias dan Panji tidak mencintainya, Galuh Anjeng merupakan anak kepada Paduka Liku yang berasal dari golongan biasa. Watak dalam cerita panji memperlihat kehebatan citra dan identiti watak dengan gambaran watak yang sentiasa sempurna walau bagaimanapun keadaan watak itu, sebagai contoh sewaktu Raden Galuh Cendera Kirana menyamar menjadi Panji Semirang Asmarantaka, beliau menjadi seorang lelaki namun kelembutan pada wajah dan kecantikkan sentiasa terpancar lantas membuatkan Raden Inu berasa suka terhadap Panji Semirang yang berwatak lelaki.





Peranan Dewa
Unsur-unsur dan peranan dewa turut wujud dalam cerita panji. Hampir semua dalam cerita-cerita panji, dewa mempunyai peranan yang luas bermula dari menurunkan watak-watak dalam cerita tersebut, mengadakan peristiwa-peristiwa sehingga kepada tindakan watak tersebut dalam menghadapi peristiwa-peristiwa yang sengaja diaturkan oleh dewa itu.
Peranan dewa-dewa dalam sesebuah cerita biasanya dimulai dari babak kayangan.  Unsur dewa dapat dilihat dari aspek latar penceritaan yang kebanyakkannya berlatarkan gambaran istana dan alam kayangan yang hanya mampu didiami oleh dewa-dewa. Keistimewaan dewa ini pula dijelmakan dalam watak-watak Panji. Justeru itu watak Panji dan Galuh sering dikaitkan dengan keturunan dewa.
Contoh gambaran dewa pada watak Raden Menteri (syair ken tambuhan)
                                                Memandang rupa Raden Inu,
                                                Kepada mata tidak jemu,
                                                Didalam hatinya bagai ditunu,
                                                Segala yang memandang hairan termangu.

Melalui Hikayat Panji Semirang misalnya, raja-raja Jawa adalah keturunan dewa (Hikayat Panji Semirang, 1973: 1). Di alam kayangan digambarkan penuh dengan segala keindahan dan keajaiban:
                                                Setelah baginda sampai ke syurga
                                                Segala bidadari terkejut belaka
                                                Heranlah ia dengan seketika
                                                Lalailah dengan pandangan muka

                                                Lalailah ia dengan seketika
                                                Mengidari taman di dalam syurga
                                                Mendam di atas hamparan suraga
                                                Badan terhantar belumkan jaga

Dengan adanya perkataan “syurga” dan “bidadari” dapat dibayangkan tempat yang cuba diperkenalkan dan gambaran syurga itu bagi manusia yang beragaman adalah sebagai tempat yang kekal dan penuh kesempurnaan.



Peranan dewa dan konsep dewaraja yang digunakan dalam melengkapkan plot sesebuah cerita.
Melalui plot dan cerita panji ianya dapat disamakan dengan perjalanan hidup manusia, dan setiap manusia itu mempunyai matlamat yang ingin dicapai.  Menurut  Abdul rahman Kaeh, 1989:93:

Manusia dilahirkan dengan bertujuan, dan dalam cerita-cerita panji sudah ditentukan bahawa Panji dan Galuh adalah jelmaan Sang Samba dan Dewi Januwati dan ini dapat disamakan dengan kita manusia biasa yang diciptakan Tuhan yang seterusnya akan kembali kepada Tuhan. Penjelmaan Panji dan Galuh daripada dewa merupakan tema yang cukup lazim terdapat dalam cerita-cerita panji dan ini merupakan warisan masyarakat tradisi Jawa.

Menerusi kitab Tantu Panggelaran yang ditulis pada zaman kerajaan Majapahit dapat dijelaskan lagi bahawa Panji itu berasal daripada dewa:
Betara Guru menciptakan sejodoh manusia di Tanah Jawa, yang kemudian berkembang biak. Akan tetapi masih telanjang, beum pandai bertutur dan pandai berbuat rumah. Maka diperintahkan kepada para dewa turun ke Tanah Jawa akan member pelajaran kepada para manusia supaya pandai berbicara, berpakaian, berbuat rumah, alat-alat dan sebagainya. Betara Vishnu menjadi raja yang pertama di Tanah Jawa bernama Sang Kandiawan, kemudian berputera Sang Mangukuhan, Sng SandangGarba, Sang Katung Malaras, Sang Karung Kala....
                                                                                                                                                      
(Poerbatjaraka dan Hadijaja, 1957: 56-57)


Menurut Harun Mat Piah hampir kesemua cerita panji, dewa-dewa mempunyai peranan yang luas, mulai dengan menurunkan watak-watak dalam cerita itu, mengada-adakan peristiwa-peristiwanya, hinggalah kepada aktiviti watak yang sengaja diaturkan oleh dewa-dewa itu.
Peranan dewa yang terkandung dalam Hikayat Carang Kulina menunjukkan bahawa dewa berperanan mewasiatkan Raden Inu supaya memerintah sebuah negara.
Maka Betara Kala pun turun mengutusi Raden Inu. Katanya ‘Diwasiatkan Moga-moga engkau jadi besar pada seisi bumi, moga-moga jangan engkau diketahui orang dan segala hamba sahaya pun jangan dikenal orang.

                                                                                                                                (Hikayat Carang Kulina, 188)
Dalam petikan di atas peranan dewa adalah sebagai utusan para dewata yang berkehendakkan seorang raja di Kuripan. Maka dengan itu para dewa berpakat memilih Raden Inu sebagai rajanya dan maksud tersebut telah disampaikan oleh Betara Kala.
Dalam Hikayat Carang Kulina peranan bukan terbatas sebagai utusan raja sahaja malahan sebagai penyelamat kepada Raden Inu,ketika berada dalam kesusahan. Dalam Hikayat Carang Kulina dewa berperanan menjadi pengutus dan dewa menyuruh Raden Inu bertapa di gunung Alu-alu untuk menjadi lebih sakti dan berkuasa di samping berperanan sebagai penasihat alam dalam pertukaran nama untuk memudahkan penyamaran untuk mencari Raden Galuh ingDaha.
Peristiwa penjelmaan dewa juga turut berlaku ke atas Raden Galuh ketika beliau keluar mengembara. Oleh kerana petistiwa dimana Raden Galuh dan Raden Inu berkelahi dan Raden Galuh merajuk akibat tindakan Raden Inu mengasarinya dengan memukul Raden Galuh dengan rotan sehingga meninggalkan parut. Dalam pengembaraan itu Betara Kalaturun menemui Raden Galuh dan dibawanya ke Gunung Pasangan dan diajar ilmu pertapaan sehingga menjadi seorang yang sakti. Dalam buku Hikayat Carang Kulina:
Maka kalangan Aseh pun menangis sambil memeluk kaki Raden Galuh. Katanya, “Tuanku kemana kita ini diterbangkan rasanya pedati ini dibawa angin.” Maka Raden Galuh pun tiada menyahut dan tahulah ia akan pedati itu tinggi rasanya ke atas bukit. Maka Betara Kala pun turun mengutusi Raden Galuh. Moga- moga barang dimana tempatmu, beroleh kebaikan dan kesukaan juga. Maka kata Betara Kala, “aduh cucuku Puspita Ningrat, jangan engkau bercinta. Duduklah cucuku betapa disini juga.”

                                                                                                                (Hikayat Carang Kulina, hlmn 168)
Secara keseluruhannya didapati peranan dewa dalam Hikayat Carang Kulina adalah bersesuaian dengan ceritanya.





 Setiap Peristiwa Mesti Dengan Izin Dewa
Dewa dianggap serba tahu dan seolah-olah perjalanan cerita panji ini bergantung penuh kepadanya. Hal ini dapat dilihat dari awal cerita lagi. Sebagai contoh, dalam Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma apabila para dewa berkumpul di Balai Tanjung Maya untuk berbincang siapakah yang patut turun ke dunia. Seterusnya dewa telah menerbangkan Galuh ke Segera Gunung dan pengembaraan Panji pun bermula. Pertemuan dan perpisahan seterusnya ditentukan oleh Betara Kala sehingga ke akhir cerita. Setelah bertemu dengan Sira Panji, Raden Galuh tidak  mahu menerima Panji, tetapi dengan kehendak Betara Kala, hati Galuh menjadi lembut sehingga mahu menerima Panji. Unsur dan peranan dewa dalam cerita panji sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan mitologi masyarakat Jawa. Cerita panji juga banyak mengandungi mitos, mistik dan sejarah. Sebagai contoh, mitos yang menghubungkan keturunan raja dengan dewa-dewa sedangkan nama dewa kebanyakannya merupakan watak dalam epos Hindu terutamanya Mahabharata (Harun,1980: 260).
Penjelmaan dan inkarnasi merupakan salah satu unsur yang mempamer peranan dewa dalam sesebuah cerita panji, hal ini dibuktikan apabila dewa boleh bertukar menjadi binatang, raksasa, bota, geroda dan sebagainya. Kekuatan peranan dewa juga dapat daripada entiti kecil melalui nama-nama watak yang terdapat dalam sesebuah cerita panji. Sebagai contoh terdapat nama-nama dewa yang disebutkan sebagai Betara Guru, Betara Nengada, Betara Omar, Betara Burhan, Betara Kermajaya, Betara Indera, dan Betara Inderajaya. Betara ialah gelaran bagi dewa atau raja.  Di samping itu, perlakuan watak pada sesuatu peristiwa dalam sesebuah cerita dan tindakan yang dilakukan oleh watak itu juga telah ditetapkan oleh dewa. Kepercayaan terhadap kekuasaan para dewa telah diwarisi daripada ajaran-ajaran agama Hindu daan Buddha. Kekuasaan itu bukan hanya dalam hal-hal itu sahaja tetapi meliputi semua aspek seolah-olah dewa-dewa itu benar mempunyai kekuasaan yang dapat menjadikan segala-galanya dengan mengikuti segala perancangan. Peranan dewa dalam cerita-cerita panji mempunyai kaitan dengan mitologi masyarakat jawa yang mempunyai kaitan rapat dengan dewa-dewa . Cerita- cerita panji banyak mengandungi unsur-unsur mitos, unsur mistik dan ada juga yang mempunyai unsur sejarah.  
Penentu dan pengawal cerita
Peranan dewa dalam cerita panji amat kuat dan berkuasa kerana dewa-dewa yang merancang kehidupan watak dalam cerita-cerita panji.
                Cerita-cerita panji tidak pernah terpisah daripada dewa kerana sang dewalah yang dianggap sebagai pembantu dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapi tokoh atau watak dalam cerita panji. Peranan dewa dianggap penting kerana dewalah yang mengatur perjalanan cerita, pemilihan tokoh, dan menyusun tindak-tanduk tokoh dalam menyelesaikan sebarang masalah yang muncul dalam cerita-cerita panji. Dapat dikatakan sang dewa memainkan peranan yang amat luas dan dapat disamakan peranannya dengan sang dalang dalam persembahan wayang kulit (Harun Mat Piah, 19800: 124). Keadaan ini menunjukkan adanya hubungan antara  Sang Pencipta dengan yang dicipta dan adanya unsur-unsur kepercayaan Hindu yang mengakar dalam budaya hidup masyarakat Jawa. Peranan dewa dalam cerita-cerita panji lumrahnya dimulai dengan peristiwa perbincangan dengan Betara Guru atau sesama dewa yang tinggal di kayangan untuk menurunkan seseorang dewa untuk merajai Kuripan (Hikayat Panji Semirang, 1992: 1). Dalam Hikayat Panji Semirang pengaruh Hindu yang kuat dijelaskan dengan gambaran terdapatnya pengaruh dewa-dewa seperti Betara Guru ataupun Sang Hyang Nata ang mempunyai kuasa luar biasa sehinggalah kesemua hal mesti dirujuk kepadanya. Segala permintaan dan hajat mestilah melalui restu dan perkenan Betara Guru. Selain itu, watak Biku Gandasari yang bertapa di Gunung Wilis turut memperlihatkan adanya pengaruh Hindu yang kuat, iaitu berkenaan dengan ramalan sesuatu yang akan berlaku. Kesemua ini ialah asas kepercayaan yang dipengaruhi unsur agama yang begitu kuat sebelum kedatangan islam.
Cerita Panji Semirang mengisahkan penduduk kayangan yang ingin membuat lakonan atau percubaan. Mereka telah bermuafakat untuk turun ke bumi kerana penduduk bumi ketika itu masih belum ramai lagi. Mereka mengharapkan agar percubaan ituakan menjadi dan akan diceritakan oleh dalang secara turun temurun. Oleh yang demikian, mereka menjelma masuk ke dalam diri empat orang ratu Kuripan, ratu Daha, ratu Gagelang, dan Tuan Puteri Biku Gandasari. Di sini dapat dibuktikan bahawa penjelmaan dewa atau peranan dewa itu terdapat dalam diri keempat-empat watak ratu dalam cerita panji.
Melalui Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma pula terdapat nama-nama dewa khusus yang diturunkan ke dunia bagi menjadikan dunia lebih bererti untuk dihuni. Contohnya seperti melalui petikan berikut:
Sebermula, maka tersebutlah perkataan segala dewa-dewa duduk berkampung di Balai Tanjung Maya, berbicara hendak menyuruhkan Betara Naya Indera laki isteri turun menjelma ke mayapada. Selama-lama raja Pandawa kembali ke kayangan , maka sunyilah mayapada ini. Akan negeri Pandawa itu pun hampir akan jadii hutanlah.  

                                                                                                                    (HMTJK,1985:1)

Daripada petikan di atas, dapat dilihat kepentingan dewa dalam memulihkan kembali dunia yang ditinggalkan oleh pihak Pandawa yang dikatakan sudah suram dan tidak dihuni. Walaupun sudah dikatakan secara tuntas bahawa cerita-cerita panji ialah cerita asli Jawa, namun hubungannya dengan cerita Pandawa tidak dapat dipisahkan. Bererti panji dan pandawa ialah sekelompok manusia bersaudara yang muncul daripada satu ikatan. Jika raja yang memerintah empat buah negeri dalam cerita-cerita panji ini ditentukan oleh dewa, sudah pasti pula tokoh-tokoh yang bakal menghuni mayapada ini juga adalah daripada manusia pilihan. Kelahiran seseorang tokoh yang diceritakan melalui watak dalam cerita panji terlaksana dengan izin para dewa. Senario seperti ini berterusan sewaktu kedua-dua watak atau tokoh penting dalam cerita panji meningkat dewasa. Permulaan perjalan tokoh dalam pengembaraan sering ditentukan oleh dewa seperti yang berlaku kepada tokoh Dewi Sekartaji (Galuh) dalam Panji Jayeng Tilem. Sekartaji harus mengubah rupa menjadi lelaki dan merajai Bali dengan digelar sebagai Prabu Bali dan mengahwini hampir dua puluh lima orang wanita, manakala anaknya dipelihara oleh sang dewa. Dengan cara yang demikian, Galuh akan dapat bertemu kembali dengan suaminya, Panji Asmarabangun. Sehingga pada waktu peperangan pun, Galuh tidak berani mempamerkan dirinya yang sebenar kerana tidak dibenarkan oleh dewa. Dia akan menyatakan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dengan kehendak dewa.
Dewa Sebagai Penyelamat
Dalam Syair Ken Tambuhan misalnya, sang dewa dianggap sebagai penyelamat kerana menghidupkan kembali Ken Tambuhan dan Raden Menteri. Dalam banyak hal, sang dewa dianggap sebagai tempat bergantung untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi terutama watak-watak penting dalam cerita-cerita panji. Seseorang dewa dianggap mempunyai kekuasaan yang sama dengan ketuhanan sehingga dapat melakukan apa-apa sahaja seperti menurunkan ribut dan melarikan Galuh ke dalam hutan. Menerusi Syair Ken Tambuhan ianya mengisahkan seorang puteri jelita bernama Ken Tambuhan atau nama asalnya Raden Puspa Kencana yang menjadi puteri tawanan di Kuripan. Setiap hari dia ditugaskan bertenun sambil dijaga dan ditemani dua orang embannya bernama Ken Penglipur dan Ken Tadahan. Kemudian berlaku pertemuan antara Ken Tambuhan dengan Raden Menteri lantas kedua-dua watak terus jatuh cinta dan tidak dapat dipisahkan langsung. Perbuatan ini akhirnya diketahui oleh Permaisuri dan baginda telah berusaha untuk memisahkan mereka kerana menganggap Ken Tambuhan tidak sepadan dengan anaknya. Permaisuri mengarahkan agar Raden Menteri pergi ke hutan mencari binatang dan sepeninggalan Raden Menteri, Permaisuri memerintahkan pelebaya untuk menghapuskan Ken Tambuhan dan dua orang embannya. Ketiga-tiga mayat mereka diletakkan di atas rakit dan ditutupi dengan bunga-bungaan. Rakit itu dihanyutkan dan akhirnya ditemui oleh Raden Menteri. Disebabkan cintanya amat kental, Raden Menteri membunuh dirinya sendiri dan berita sedi ini disampaikan kepada Raja dan Permaisuri. Apabila Raja mengetahui kebenarannya Permaisuri telah dihalau dari istana dengan penuh kehinaan. Raja yang terlalu bersedih dengan peristiwa tersebut menarik peerhatian para dewa dan akhirnya dengan bantuan Seri Betara, Ken Tambuhan dan Raden Menteri dihidupkan semula dengan menggunakan bunga Gandapura Wangi yang berasal dari susu Dewa Sugarba. Dengan kehendak dewa kegembiraan terus menyelubungi seluruh Negara dan permaisuri diterima kembali ke istana. Dengan peranan dewa yang kuat baharulah semua peristiwa ini boleh berlaku. Kesedihan baginda dijelaskan melalui rangkap dalam syair Ken Tambuhan:

Baginda nin tidak minum dan makan,
Sang Nata duduk dalam pertapaan,
                                                                Segala dewa sangat kasihan,
                                                                Melihat hal baginda yang demikian.

                                                                Berkatalah dewa yang dari keinderaan,
                                                                Belas melihat Ratu Kuripan,
                                                                Baik kuhidupkan itu Tambuhan,
                                                                Supaya panjang lelakon terkemudian.

                                                                Betara Guru bertitah manis suara,
                                                                Pada Betara Kala Dewa dari keinderaan,
                                                                Turunlah engkau dengan segera,
                                                                Dapatkan Inu ing jenggala asmara.
                                                               
                                                                Hidupkan puteranya kembalikan pula,
                                                                Seperti yang dahulu sedia kala,
                                                                Khidat menyembah Betara Kala,
                                                                Titah terjunjung di atas jemala.

                                                                Betala Kala dewa yang pokta,
                                                                Sembahnya tidak lagi salah,
                                                                Katanya tidak berapa patah,
                                                                Ke dunia turun menjunjugkan titah.

                                                                Gandapuri Wangi sangatlah mulia,
                                                                Sukarlah sangat mendapat dia,
                                                                Kerana tidak di dalam dunia,
                                                                Dewi Sugarba empunya dia.


                                                                                                                (Syair Ken Tambuhan: hlmn, 114-118)

Kewujudan kuasa dan kehendak dewa kerajaan Daha dan Kuripan menjadi akrab dan mereka hidup aman sejahtera. Di sini jelas bahawa dengan peranan dewa sebuah cerita yang mungkin pada hemahnya terhenti sewaktu watak telah dibunuh namun boleh dihidupkan kembali dan dimulakan dengan nafas yang baru melalui penyatuan, percintaan dan pengembaraan.






Menurut Cahyono (2009: 8) Panji merupakan tokoh manusia biasa dan bukan pahlawan pendatang seperti Rama dan Pandawa yang dikatakan berasal dari India. Panji juga merupakan pemain muzik. Penari drama dan penulis puisi. Ia tokoh teladan masa lampau dan segala perilakunya merupakan teladan dalam mengembangkan perisitiwa dan cerita dalam cerita-cerita panji. Panji lebih dipandang sebagai fenomena budaya, dan pengembang karya. Di samping itu, Panji juga diidentitikan dengan gambaran kedewataan.
Cerita- cerita Panji juga sering dikaitkan dengan asal usul raja-raja Jawa, para ratu yang berkaul kerana inginkan anak, pemjelmaan dewa, episod pengembaraan, penyamaran, pertukaran nama, unsur-unsur pewayangan, Panji dan Galuh sakit, peperangan, pertemuan dan pembayaran kaul semuanya dilakukan dengan kehendak dan izin para dewa. Sepertimana pemergian watak Raden Galuh yang keluar dari istana yang juga merupakan kehendak para dewa.

                umumnya cerita-cerita panji tidak pernah terpisah daripada dewa kerana sang dewa berperanan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh tokoh. Sungguhpun sang dewa dianggap sebagai penyelamat dan pembantu dalam menyelesaikan pelbagai masalah seperti mengadakan kaul untuk mendapatkan zuriat yang baik sebagaimana yang telah dilakakukan oleh raja Kuripan dan Daha, namun demikian, terdapat juga sang dewa yang menjadi pencetus angkara seperti perlakuan yang dilakukan oleh Dewa Durga Sakti. Dewa ini telah melindungi wajah Raden Galuh yang sebenar sewaktu Semar disuruh oleh Inu untuk melukis wajah Galuh. Akibat daripada lukisan rupa jelik dan hodoh Dewa Durga ini telah meneybabkan Inu memungkiri janjinya untuk memeperisterikan Galuh.

Membuat watak jatuh sakit dan memulihkan watak.
Melalui cerita-cerita panji dewa juga berperanan dalam menyembuhkan watak yang sakit dan memulihkan watak. Biasanya Panji jatuh sakit kerana penderitaan jiwanya akibat kehilangan orang yang dikasihi, iaitu isterinya. Misalnya dalam Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma, Panji jatuh sakit setelah Ken Segerbaningrat melarikan diri dari istana. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Panji mendapat tahu bahawa Ken Segerbaningrat itu sebenarnya ialah istertinya. Penyakit Panji hanya sembuh setelah dia terlihat Endang Kusuma Jiwa (Galuh Daha) yang seolah-olah sama dengan rupa isterinya. Pada akhir cerita, Panji sekali lagi jatuh pengsan apabila Raden Galuh menolak cintanya. Betara Kala melembutkan hati Raden Galuh sehingga akhirnya titisan air matanya dapat menyembuhkan penyakit Panji. Oleh itu, dapat dibuktikan bahawa peranan Panji dalam mempengaruhi watak dapat menghidupkan kembali cerita panji. Dalam cerita panji lain, watak Galuh beberapa kali jatuh sakit. Pertama kali ketika isteri Daha sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan dengan Inu. Menurut pertapa, hanya air liur naga berkepala tujuh dari Segara Kidul sahaja yang boleh menyembuhkannya, dan hanya Inu sahajalah yang boleh mengambilnya. Dengan pertolongan dewa, Inu Berjaya mendapatkan air liur tersebut untuk mengubati Galuh. Dalam peristiwa lain pula, Galuh mendapat sakit apabila dia dilarikan oleh dewa ke Gunung Tunan. Namun akhirnya Inu yang sedang dalam penyamaran telah Berjaya mengubatinya 

Melalui Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma, sang dewa yang bernama Betara Kala turut memainkan peranan seperti memulihkan kembali tokoh Galuh dan Inu yang pengsan sebagaimana petikan di bawah ini:
Syahadan, kepada masa itu Betara Kala sedang melayang hendak kembali ke kayangan. Dilihatnya Inu laki isteri pengsan. Maka agenda pun tertawa katanya. “Keras Htinya si Galuh ini. Sedarlah engku hai Cendera Kirana, sudahlah berbalas malu engkau kepda suamimu. Lagipun bukannya kehendak si Kertapati sahaja Sang Hyang Sukma melakukannya. Urip waraslah egkau berkasih-kasihlah suami isteri!”

(HMTJK,1985:441)






Pada dasarnya, hubungan tokoh panji dengan dewa sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana asal tokoh bermula daripada keturunan dewa dan apabila tua pula, setiap tokoh terutamanya raja-rajanya turut mengabdikan diri mereka kepada dewa-dewa dengan melakukan pertapaan. Berdasarkan teks Hikayat Panji Semirang:
Maka berjalanlah baginda itu setiap pada tiap-tiap hari pagi dan petang  siang dan malam, tiada lain hanya hendak berbuat kebajikan serta memuji dan mendoa kepada Sang Hyang Betara Jagat dan Sang Hyang Ulun dengan tiada makan dan minum.
          (HPS:137)
Di samping itu dewa juga melakukan penyamaran untuk menentang musuh. Sebagi contoh melalui cerita Panji Raras Dewa Samba menyerupai Panji untuk beraksi menentang musuh. Sedangkan Panji yang sebenar sedang mengalami keadaan yang tidak siuman, dan adiknya pula telah ditawan musuh.Dalam peperangan ini, pihak musuh tetap menyangka bahawa Dewa Samba sebenarnya Panji kerana paras rupa yang mirip sama sekali.
 
Konsep dewaraja terserap dalam cerita-cerita panji kerana cerita panji itu seperti mana yang kita ketahui berasal dari Jawa dan masyarakat Jawa amat akrab dengan kebudayaan Hindu. Ada antara mereka yang masih mengamalkannya sehingga kini. Oleh itu, konsep mengagungkan raja amat ditekankan dalam karya yang ditulis bagi memberi keistimewaan kepada raja dan mengangkat darjat raja. Konsep dewaraja berkaitan dengan penjelmaan atau avathar. Pengertian menjelma itu sendiri membawa konotasi melahirkan sesuatu di dalam atau memasukkan sesuatu ke dalam. Lebih tepat jika dikatakan penjelmaan adalah pemindahan roh daripada satu tubuh iaitu jasad kepada tubuh yang lain. Penjelmaan ini boleh berlaku dalam bentuk manusia, raksasa atau binatang. Gambaran kepada penjelmaan ini dapat dikelompokkan kepada beberapa kelompok seperti penjelmaan daripada dewa (avathar), kelahiran semula, penjelmaan dalam tubuh lain, penjelmaan dalam mimpi, penjelmaan dalam ingatan, dan sebagainya.
Dapat dilihat melalui cerita-cerita panji walaupun cerita-cerita panji ini merupakan hak asli Jawa, namun unsur-unsur seperti berkaul kepada dewa, menghening cipta dan memusatkan konsentrasi kepada dewa, memuja dewa, dan menjelma daripada dewa menjadi suatu wajah kepada cerita-cerita panji. Unsur dewa dalam cerita-cerita panji pastinya dikaitkan dengan unsur penjelmaan yang tidak dapat dipinggirkan begitu sahaja. Kebanyakan tokoh ialah penjelmaan dewa seperti asal usul tokoh yang ada kalanya dikaitkan dengan Wisnu dan adakalanya dikaitkan dengan Arjuna. Pada dasarnya, pemikiran dan kepercayaan masyarakat Jawa brsandarkan kepercayaan tersebut di samping kepercayaan animismenya. Tidak menghuraikan jika jurai keturunan raja-raja Jawa sering dikatkan dengan dewa-dewa Hindu. Dalam doktrin agama Hindu, tedapat fahaman bahawa tuhan dapat menjelmakan dirinya kepada bentuk manusia. Menurut buku agama Siva, terdapat hubungan anatara Siva dengan penganutnya, tetapi hubungan itu hanya berlaku secara penjelmaan atau penubuhan Siva.  Menurut pandangan penganut kepercayaan Hindu-Jawa bahawa raja ialah dewaraja yang dapat memenuhi segala keperluan di dunia seperti tanggapan yang berikut:
From the Hindu-Javanese viewpoint, only god-king canfulfill the function of calming and ordering the turbulent earthly society by mshing it with the cosmic harmony. From the Javanese, itis the function of the ruler to link the present with the past and the future, and to give human life its appropriate place in the cosmic order. The king is the is the sacred embodiment of the totality of the state, just as the king’ palace is a microcosmic copy of macrocosm.
                                                                                                                                (Josef Prijotomo,1984:27)
Untuk mempamerkan kewibawaan seseorang raja, tidak menghairankan jika anak-anak raja Jawa khususnya tokoh-tokoh dalam cerita panji dikaitkan dengan dewa Hindu

Kedudukan Raja Sebagai Titisan Dewa
Kedudukan raja yang dianggap sebagai titisan dewa menimbulkan rasa taat setia yang tidak berbelah bagi dalam kalangan rakyat. Konsep raja sebagai penjelmaan dewa memungkinkan seseorang memantapkan dirinya sebagai pemerintah kerana raja mempunyai darjat yang lebih tinggi dan dianggap manusia yang sukar ditandingi. Menurut petikan garapan Koentjaraningrat memperjelas lagi perihal konsep dewaraja dalam cerita panji.

... kerana berasal dari dewa, maka seseorangraja dianggap memiliki kekuatan sakti yang memancar dari tubuhnya kepada mereka yang berada didekatnya, baik kerana hubungan kekerabatan, perkahwinan atau tugas kerajaan. Orang-orang yang sudah terkena kesakten (sifat sakti seorang raja) meneruskan orang-orang lain di sekelilingmereka yang lebih rendah...

(Koentjaraningrat,1984:41)

Kedudukan raja yang tinggi dan penerimaan rakyat ini berpunca daripada konsep dewaraja yang menekankan sifat-sifat ideal seseorang raja yang adil dan saksama. Raja dipandang sebagai seseorang yang dalam dirinya berpusat segala kesaktian dan kekuatan. Mereka juga percaya segala kekuatan yang ada di jagat raya ini berpusat kepada seorang raja yang dianggap sebagai dewa.
                Raja juga mempunyai kesaktian dalam diri, raja boleh menjelma menjadi bentuk lain seperti ular, raksasa dan lain lagi. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa penjelmaan yang wujud dalam cerita panji adakalanya membawa kepada matlamat dan tujuan seperti ingin membawa keharmonian dan kemenangan, menegakkan maruah diri dan keluarga sebagai lambang kekuasaan. Penjelmaan ini jelas ditampilkan oleh dewa-dewa ke dalam diri Inu dan Galuh kerana secra tidak langsung tokoh-tokoh yang lahir ini mewarisi unsur-unsur kedewaan dalam diri mereka, walaupun mereka sudah tergolong dalam kalangan manusia.
Kesimpulannya, perjalanan tokoh-tokoh dalam cerita-cerita panji dalam mengharungi kehidupan mereka kebanyakan diwujudkan dan terwujud disebabkan oleh kehendak dewa dengan dewa berperanan dalam menjadikan satu peristiwa ke satu peristiwa dan dilengkapkan dengan konsep raja yang merupakan titisan dewa. Peranan dewa dan konsep dewaraja dalam genre cerita panji secara tidak langsung membangunkan cerita ini dan seterusnya melengkap fungsi cerita panji itu ditulis iaitu mengagungkan raja dan membuatkan rakyat kagum dengan raja selain menjadi hiburan kepada khalayak pembaca.